Suatu hari ada seorang lelaki
yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia
berkata, "Wahai Aba Ishak! Selama ini
aku gemar bermaksiat. Tolong berikan
aku nasihat." Setelah mendengar
perkataan tersebut Ibrahim
berkata, "Jika kamu mahu menerima lima
syarat dan mampu melaksanakannya, maka
boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki
itu dengan tidak sabar-sabar
bertanya. "Apakah syarat-syarat itu,
wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham
berkata, "Syarat pertama, jika kamu
bermaksiat kepada Allah, jangan
memakan rezekinya." Mendengar itu dia
mengernyitkan kening seraya
berkata, "Dari mana aku mahu makan?
Bukankah semua yang ada di bumi ini
rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin
Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya,
masih mampukah memakan rezekinya,
sedangkan kamu selalu berkeinginan
melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua," kata
Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat,
jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini
membuat lelaki itu terkejut setengah
mati. Ibrahim kembali berkata
kepadanya, "Wahai Abdullah,
fikirkanlah, apakah kamu layak memakan
rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya,
sedangkan kamu melanggar segala
larangan-Nya?"
"Ya! Anda benar." kata lelaki
itu. Dia kemudian menanyakan syarat
yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau
kamu masih mahu bermaksiat, carilah
tempat tersembunyi yang tidak dapat
terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali
terperanjat dan berkata, "Wahai
Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana
mungkin Allah tidak melihat
kita?" "Ya, kalau memang yakin
demikian, apakah kamu m asih
berkeinginan melakukan maksiat?" kata
Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan
meminta syarat yang keempat.
Ibrahim melanjutkan, "Kalau
malaikat maut datang hendak mencabut
rohmu, katakanlah
kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu.
Aku masih mahu bertaubat dan melakukan
amal soleh'." Kemudian lelaki itu
menggelengkan kepala dan segera
tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin
malaikat maut akan memenuhi
permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau kamu
sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh
menunda dan mengundurkan datangnya
kematianmu, lalu bagaimana engkau
boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang
kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai
Abdullah kalau malaikat Zabaniyah
datang hendak mengiringmu ke api
neraka di hari kiamat nanti, jangan
engkau ikut bersamanya."
Perkataan tersebut membuat
lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai
Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu
tidak membiarkan aku menolak
kehendaknya." Dia tidak tahan lagi
mendengar perkataan Ibrahim. Air
matanya bercucuran. "Mulai saat ini
akut bertaubat kepada Allah." katanya
sambil terisak-isak.